Khamis, 26 Februari 2015

SOAL SELIDIK

Kami telah diberi tugasan untuk membuat soal selidik tentang tahap pengetahuan pelajar Politeknik Muadzam Shah, Pahang. Kami telah membuat dan menyediakan soalan soal selidik yang terdiri daripada 16 soalan dan soalan tersibut adalah tentang proses kemerdekaan Tanah Melayu.

Kami mula mengedarkan kertas soalan soal selidik tersebut pada 12 Februari 2015, Khamis. Soalan ini kami edarkan kebanyakkannya kepada pelajar semester satu dan dua. Atas kekurangan masa, kami hanya menyediakan 33 soalan.
Berikut adalah hasil keputusan soal selidik:





Kajian ini banyak memberi kebaikan kepada diri kami dalam mempelajari Proses Kemerdekaan Tanah Melayu. Proses Kemerdekaan Tanah Melayu banyak memberi saya ilmu pengetahuan tentang pengorbanan tokoh Sejarah dalam memerdekakan Tanah Melayu. Dengan ilmu pengetahuan ini, kami akan lebih menghargai pengorbanan pejuang Kemerdekaan dan akan cinta akan Negera.

Daripada soal selidik pula, kami mendapati pelajar PMS tahu akan Proses Kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka berjaya menjawab soalan soal selidik dengan baik. Walaupun segelintir daripada mereka harus menyanyikan lagu Jalur Gemilang untuk menegetahui maksud warna yang terdapat pada bendera Jalur Gemilang.Pelajar PMS juga kurang mengetahui tentang topik Semagat Nasionalism. 

Kesimpulannya, Pengetahuan tentang Proses Kemerdekaan Tanah Melayu ini penting bagi pelajar supaya mereka dapat menghargai jasa pejuang Negara dan mereka tidak buta akan sejarah. Oleh itu, pentingnya untuk mengetahui Proses Kemerdekaan Tanah Melayu.

Selasa, 10 Februari 2015

Proses Kemerdekaan Tanah Melayu

PENGENALAN
TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.

Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.



PROSES KEMERDEKAAN TANAH MELAYU
  • Dicapai menerusi rundingan.
  • Usaha untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah telah lama bermula.
  • Namun, sebelum tahun 1946, semangat nasionalisme yang dalam erti kata yang sebenarnya masih belum wujud lagi.
  • pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941-1945 telah menggalakkan kemunculan dan kemajuan semangat nasionalisme di Negara ini.
  • Mengapa?
  • Tekanan hidup.
  • Pengalaman menjawat jawatan.
  • Melahirkan golongan nasionalis yang terbabit dalam politik.
  • Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, kebanyakkan kuasa penjajah barat mula membuka ruang pembebasan kepada Negara-negara yang terjajah.
  • Mengapa?
  • Beban ekonomi dan pengurusan yang tinggi.
  • Slogan kebebasan yang dilaungkan oleh Amerika Syarikat.
  • Resolusi PBB yang memutuskan supaya tanah-tanah jajahan diberikan kemerdekaan.
  • Namun begitu, British cuba menjadikan Tanah Melayu sebagai Negara untuk semua kaum melalui Rancangan Malayan Union.
  • Tujuan: menjaga kepentingan ekonomi.
  • Mendapat tentangan>  menubuhkan Persekutuan Tanah Malayu.
  • British bersedia merundingkan soal pemberian taraf berkerajaan sendiri kepada Tanah Malayu sebagai langkah ke arah kemerdekaaan.



LATAR BELAKANG SEMANGAT NASIONALISME DI ASIA TENGGARA.
Di Tanah Melayu, gerakan menuntut pemerintahan sendiri bermula seawal tahun 1900an dengan digerakkan oleh golongan ulama seperti Syed Syeikh al-Hadi,  Sheikh Tahir Jalaludin. Pergerakan Hizbul Muslimin, pondok agama Gunung Semanggol dan sebagainya.


Namun gerakan menuntut kemerdekaan lebih nyata selepas tamatnya Perang Dunia Ke 2 dengan penyerahan balik Tanah Melayu kepada tentera British oleh  tentera Jepun. Pengajaran dan kesedaran berada di bawah pemerintahan Tentera Jepun telah menaikkan semangat nasionalisme di kalangan orang-orang Melayu khasnya dan kaum Cina.

Ini ditunjukkan dengan tumbuhnya banyak parti-parti dan persatuan-persatuan yang bergerak aktif ketika itu seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Kembalinya British ke Tanah Melayu dengan membawa gagasan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu. Ketuanan raja-raja Melayu dan kekuasaannya terhadap ugama Islam juga tercabar, maka Melayu memberontak!


Rentetan daripada itu telah diadakan satu Kongres Melayu Se-Malaya yang dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Seramai 41 persatuan-persatuan telah menghantar wakil masing-masing yang telah mengangkat Dato’ Onn dari Persatuan Melayu Johor sebagai Presiden Kongres.

Dalam kongres ini, semua pertubuhan digabungkan di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu  - PEKEMBAR ataupun UMNO.  Selain itu satu ketetapan telah dibuat bagi membantah gagasan Malayan Union oleh British. Mereka juga bersetuju menetapkan satu tarikh bagi pelancaran pertubuhan ini.

Maka pada 11 Mei 1946,   satu persidangan telah diadakan di Istana Besar, Johor Bahru dan penubuhan PEKEMBAR atau UMNO telah dirasmikan.  Penubuhan UMNO adalah platform kepada orang-orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada British.

Dalam menetapkan halatuju UMNO dan polisi kependudukan di Tanah Melayu, akhirnya Dato’ Onn telah bertindak keluar dari UMNO lalu menubuhkan Parti Negara. UMNO kemudiannya telah diterajui oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Dalam masa yang sama juga, orang-orang Cina telah menubuhkan MCA, manakala orang-orang India pula menubuhkan MIC.

Gerakan menuntut kemerdekaan juga berlaku di negara-negara Asia Tenggara yang lain dalam tahun 1940-1950. Filipina mencapai kemerdekaan pada 4hb Julai 1946 daripada Amerika Syarikat. Manakala Indonesia telah diistiharkan merdeka sebagai sebuah negara repablik pada 17hb Julai 1945 setelah Jepun menyerah kalah di Asia Pasifik dalam Perang Dunia ke 2. Burma (kini Myanmar) merdeka pada 1hb Ogos 1943 dibawah perjanjian dengan Jepun. Di Vietnam pula, Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam pada 2hb September 1945 daripada Perancis. Manakala Laos pula, mendapat kemerdekaan dari Perancis pada 8hb April 1945.

Maka keseluruhan semangat kemerdekaan dari negara-negara jiran Asia Tenggara itu telah menyemarakkan lagi kebangkitan penduduk-penduduk Tanah Melayu agar dipercepatkan pemerintahan sendiri.




PILIHANRAYA PERSEKUTUAN PERTAMA TAHUN 1955



Pilihanraya Persekutuan Pertama telah diadakan pada 27hb Julai 1955 di mana parti-parti politik seperti UMNO, MCA, MIC, Parti Negara, PAS dan Parti Buruh telah mengambil bahagian bagi merebut 52 kerusi yang dipertandingkan.

Bagi menunjukkan komitmen ke arah kemerdekaan, UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA dan MIC bagi membentuk Parti Perikatan bagi menghadapi pilihanraya ini. Hasilnya mereka berjaya mengusai 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Ia menjadi asas kepada persefahaman untuk memenuhi tuntutan British bahawa kemerdekaan boleh dicapai dengan adanya kerjasama dan saling bertolak-ansur antara kaum-kaum di Tanah Melayu.

Dengan itu Tunku telah membentuk kabinet yang dianggotai oleh ketiga-tiga parti tersebut.  Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri.



PERSIAPAN DELEGASI MERDEKA KE LONDON
Untuk merundingakan kemerdekaan dengan British di London bukanlah semudah sekarang, kerana perbelanjaan untuk menaiki kapal laut dan kapal terbang ketika itu memerlukan kos yang tinggi.

Mengimbau kembali peristiwa yang berlaku dalam Persidangan Umno di Dewan Hang Tuah Bandar Hilir, Melaka sekitar tahun 1955. Ketika itu Tunku berucap yang beliau akan berangkat ke London bersama Raja-raja Melayu.

Dengan loghat Kedah, Tunku berkata,”Saya ni nak pi London. UMNO tak dak duit, saya pun tak dak duit. Saya jual istana ayahanda duk murka. Ayahanda suruh saya jadi raja, saya tak mau, saya nak jadi Presiden UMNO, bagi Malaya merdeka”.

Orang menangis bergenang air mata, tapi Tunku menangis air mata bercucuran membasahi pipinya. Lantas para serikandi UMNO dengan segera menyahut seruan Tunku dengan menyerahkan apa jua barangan kemas yang ada di badan seperti gelang, loket, subang, pin baju dan sebagainya untuk didermakan bagi membiayaai pemergian Tunku dan rombongan. Manakala yang lelakinya pula menyerahkan tongkat berkepala emas, jam tangan dan lain-lain barang berharga.

Walaupun ianya tidak mencukupi tetapi semangat orang-orang Melayu begitu tinggi untuk bersama berkorban apa saja bagi mencapai hasrat kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada 1hb Januari 1956, Tunku dan rombongan kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan dengan kapal laut MV Asia dari Singapura.  Dari Karachi, mereka meneruskan penerbangan ke Kaherah seterusnya ke London.



TERCATAT SEJARAH PENETAPAN KEMERDEKAAN PADA 31.08.1957

Rombongan Tunku sampai di London pada 14hb Januari 1956. Mereka kemudiannya berunding dengan perwakilan kerajaan British, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan lain-lain. Rundingan berjalan dari 16hb Januari hingga 6hb Februari 1956.

Akhirnya kerajaan British akur memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian London telah ditandatangani pada 8hb Februari 1956. Mereka menetapkan tarikh 31hb Ogos 1957 bagi Persekutuan Tamah Melayu mencapai kemerdekaan mutlak.

Inilah tarikh keramat yang kita sambut setiap tahun sebagai tarikh pembebasan Tanah Melayu dari belenggu penjajah.



SAMBUTAN KEPULANGAN ROMBONGAN MERDEKA DI BANDAR HILIR MELAKA

Rombongan Tunku dari London sampai ke Singapura dan kemudiannya ke Melaka. Satu sambutan besar-besaran diadakan membabitkan kira-kira 100,000 orang orang yang menunggu di Padang Bandar Hilir yang kini dikenali sebagai Dataran Pahlawan.

Sesungguhnya laungan MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA ! telah berkumandang di sini buat pertama kalinya  pada 20hb Februari 1956.

Dengan itu maka pelbagai persiapan untuk pengisytiharan kemerdekaan telah dilakukan termasukalah pembinaan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.



MENJELANG DETIK 12 MALAM 31.08.1957
Menjelang 30 Ogos, sekitar jalan-jalan bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan dan orang ramai berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-lampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling.

Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri. 

Detik 10 malam, wakil-wakil yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Tanah Melayu dan Singapura mengambil tempat di sekeliling tiga bahagian padang. Diikuti dengan pembentukan 300 Pemuda Perikatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap menara jam.

Tunku Abdul Rahman diiringi masuk pada pukul 11.55 malam bersama 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal dengan pengiring polis. Tunku disambut oleh Dato’ Abdul Razak Hussein, Encik Saadon Jubir, Tan Cheng Lock dan V.T. Sambantan. Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas mengadap ke tiga-tiga tiang bendera.

Pukul 11.58 semua lampu di padang dan di sekeliling dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita. Detik 12 tengah malam lampu dipasangkan apabila jam besar berbunyi menandakan bermulanya era Tanah Melayu yang merdeka. Ini diikuti pula dengan laungan  ”Merdeka” oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang secara spontan.

Bendera Union Jack mula diturunkan dengan diiringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai menandakan berakhirnya pentadbiran Britih di Tanah Melayu.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan Negaraku  yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum. Setelah bendera berada di puncak tiang, sorakan ”Merdeka” telah dilaungkan oleh Tunku sebanyak tujuh kali.



PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN DI STADIUM MERDEKA KUALA LUMPUR

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31hb Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.

Pada upacara bersejarah itu wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu.




Perisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibaca oleh Tunku dan selepas itu laungan ”MERDEKA” sebanyak tujuh kali.  Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan sebuah negara Islam dengan agama rasminya telah dilahirkan. Diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi lagu kebangsaan ”Negaraku”. Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi negara yang merdeka dan berdaulat.

Begitulah detik-detik sejarah kemerdekaan Tanah Melayu yang penuh dengan liku-liku dan ranjau yang telah dilalui oleh datuk nenek kita dahulu. Sebagai generasi penyambung kemerdekaan, kita hari ini sesungguhnya telah mewarisi kemakmuran yang telah dicipta oleh mereka.